Friday, May 20, 2011

BUSU SOYAH




“Yah, tiga cita-cita aku tak tergapai,” kata-kata itu dituruti dengan cucuran air mata yang melalui jurang-jurang kedutan umpama lembah dingin yang dikelilingi oleh gunung-ganang dan bukit-bukau.
“Mak Busu, tak baik cakap begitu,” ujar Ruyah.
“Ya, sejak kecik aku tiada bercita-cita besar. Kerana apa? Kerana aku sedar akan ketidaktercapaianku. Aku lemah, Yah,” ada getar pada ekor kata itu.
Nafasnya mendesah kuat, sesekali mendengus seakan-akan kerbau yang sedang marah.
“Mak Busu, tiada apa yang dapat saya beri pada Busu. Mereka berdualah yang dapat saya kongsi dengan Mak Busu.
“Aku dah tua, Yah. Terlalu tua untuk Bujang, Rejang, juga engkau.” Sesungguhnya, Busu Soyah memang sudah tua. Terlalu tua. Tapi matanya masih awas seperti mata harimau yang menangkap bayang setiap mangsa yang bisa memancing seleranya. Telinganya juga masih jelas, sejelas kuping kancil yang mengangkap bunyi pijakan pemangsa yang menginginkan tubuh kecil itu. Cuma kedutan di wajah tua itu tidak dapat disembunyikan. Ketuaan memang sungguh dekat dengannya.
“Mak Busu, semua orang akan tua. Saya juga akan melaluinya. Bujang juga begitu, Rejang juga,” kali ini air mata Ruyah tidak bisa tertahankan lagi; mengalir deras bagai air sungai dari bukit.
“Yah, kau angkat sedikit badan aku. Aku hendak duduk tegak,” pinta Busu Soyah.
“Nanti badan Mak Busu sakit. Baik Mak Busu baring saja,” tutur Ruyah apabila melihat Busu Soyah tidak selesa sebenarnya. Dialih-alihkan punggungnya ke kiri dan ke kanan seperti budak baru belajar duduk.
Ruyah bangkit sebentar; menguak daun tingkap yang tertutup setelah angin petang itu menampar-nampar dengan kuat. Kemudian, Ruyah duduk di sebelah kanan bahu Busu Soyah. Diusap-usap rambut yang memutih itu. Kendati putih, rambut Busu Soyah cantik, mayang mengurai.
“Yah, kau tolong buka peti dekat hujung kaki aku, tu,” tunding Busu Soyah.
Ruyah bangkit lagi menuju peti buruk itu. Banyak sangat kerawang. Kayunya sudah reput dimamah anai-anai.
“Ada apa Mak Busu?” tanya Ruyah.
“Kau buka saja peti tu,” arah Busu Soyah.
Ruyah membersihkan dahulu habuk dan kerawang yang bersawang di peti itu. Kemudian diangkatnya perlahan-lahan kain yang menutupi peti buruk itu.
“Tak nampak corak kain ni,” desis hati Ruyah.
Walaupun Ruyah selalu bertunggu-bertangga di rumah usang itu, namun tidak pernah sesekali dia memegang peti itu, jauh sekali untuk membukanya.
“Dalam tu, Nin ada letak macam-macam benda. Boleh cakap peti karunlah,” gurau Busu Soyah. Kemudian batuk kecil mengikuti kata akhir itu.
Busu Soyah menarik nafas dalam-dalam. Batuknya makin menjadi dan keras. Sesekali Busu Soyah mengurut-urut dadanya.
“Sakit benar aku ni, Yah,” kata Busu Soyah.
Ruyah masih kaku di depan peti buruk itu.
“Kenapa kau tak buka lagi peti tu?” tanya Busu Soyah.
“Busu Nin tak pernah menyuruh saya membukanya. Saya takut dia marah.” Ruyah anak saudara Busu Nin. Sejak didera oleh ibu tiri Ruyah, Busu Nin dan Busu Soyah mengambil tugas membela Ruyah, malah Ruyah membesar dengan bebelan dan ecehan suara tua itu.
“Busu Nin kau dah tak ada,” balas Busu Soyah. Diengsotnya punggung yang hanya tinggal tulang itu ke depan sedikit demi sedikit.
“Tapi saya rasa dia ada dengan kita dan dari tadi dia memerhatikan kita.” Ruyah tergamam di peti usang itu. Dia memaut tingkap kemudian berdiri.
“Siapa yang ajar kau pukul anak orang, ha?” pertanyaan yang singgah itu entah ke berapa kali datang.
Ruyah berdiri tegak, hampir terkencing dalam seluar.
“Aku tak pernah mengajar engkau menjentik anak orang, apatah lagi memukulnya!” tengking Busu Nin.”
“Yah tak bersalah. Ara yang baling pasir dekat muka Yah.” Sitam sedang cuba membetul keadaan tetapi dia yang dimarahi oleh Busu Nin. Terkulat-kulat Sitam apabila dimarahi.
Busu Nin sedang tercegat berdiri di depannya memegang seludang nyiur. Bebola matanya merah menyulat; ingin membakar tubuh mungil Ruyah.
Berpiap-piap Ruyah diseludangi oleh Busu Nin. Busu Nin bagai orang terasuk memukul Ruyah. Dia pantang sungguh mendengar aduan orang kampung tentang kepincangan Ruyah. Berbilai tangan dan tubuh Ruyah pada petang hari itu. Ruyah menangis tersedu-sedu di bawah pohon jambu – tempat permainannya bersama Dewi, Sitam, Ara dan Jelani.
Diselaknya tangan kiri. Ya, parut itu masih berbekas hingga ke saat itu; mungkin sampai ke mati.
Perlahan Busu Soyah memaut betis Ruyah yang penuh; bunting padi. Bertuah Hadim mengahwini Ruyah yang kini bahagia bersama tujuh orang cahaya mata – enam lelaki dan seorang perempuan.
“Kau masih ingat Busu Nin menyeludang engkau, Yah?”
Ruyah tidak menjawab, sebaliknya hanya menangguk. Diseka air mata yang tumpah sejak tadi dengan hujung lengan baju nyonya berbunga biru kecil-kecil. Baju itu diberikan oleh Busu Nin semasa hayatnya.
“Yah, amik ni,” kata Busu Soyah sambil menarik tangan Ruyah.
Ruyah tergamam. Tidak disangka-sangka itulah pemberian Busu Soyah pada petang itu. Burung sudah pulang ke sarang tetapi Ruyah masih di rumah itu. Dia tahu, anak-anaknya pandai membawa diri. Silap-silap balik rumah sudah terhidang makanan di atas tikar mengkuang.
“Mak Busu, saya tak layak untuk menerima pemberian ini,” ujar Ruyah jujur. Kali ini giliran Ruyah menarik tangan Busu Soyah.
“Yah, tiada apa yang aku dapat beri pada kau. Engkau dah banyak berjasa kepada aku berdua. Sampai Busu Nin menghembus nafas akhir, ini amanat dia.” Busu Soyah menyusun kata setenang mungkin. Sesekali batuknya terhambur dan setiap kali itulah dia mengusap-usap dada.
“Mak Busu, saya tidak pernah meminta ini sebagai balasan. Tu di luar sana, anak saudara Mak Busu ramai. Ada yang dekat-dekat lagi. Nanti apa pula kata Hasnah, Buntat. Lebih-lebih lagi Rokiyah, dia pantang kalau dengar benda-benda begini. Saya tak mahu gaduh pasal benda begini,” tutur Ruyah tegas.
“Yah, ini hak aku. Aku berhak beri siapa yang aku mahu, siapa yang aku suka. Tiada siapa yang boleh buka mulut kalau aku dah bagi pada engkau!” suara Busu Soyah meninggi sedikit. Dia juga hairan benar amat payah Ruyah menerima pemberiannya kali ini. Busu Soyah amat yakin, jika tawaran itu diberikan kepada Rokiyah, pasti tidak menang tangan disambutnya.
Ruyah memandang sepi subang, gelang dan rantai emas di dalam sapu tangan berkotak-kotak biru itu. Tiada sebesar zarah keinginan pun dia ingin mendapatkan semua itu. Baginya, Busu Soyah jauh lebih bernilai daripada itu.
Busu Soyah menunduk. Lama mereka terdiam menyulam kata-kata.
“Yah, kalau itu yang engkau tidak mahu, apa yang Busu Nin dah beritahu pada engkau sebelum dia mati, engkau tak boleh tolak,” ingat Busu Soyah kepada Ruyah.
Ya, Ruyah masih ingat tempoh hari. Sebaik sahaja Ruyah menjejakkan kaki ke muka pintu, Busu Nin berdehem, lantas Busu Soyah keluar dari tirai bilik yang lusuh. Ruyah melabuhkan punggung di depan Busu Nin.
“Yah, ni wasiat aku. Besar harapan aku pada engkau. Walau ada anak sedara, engkau tidak sama,” Busu Nin menyusun kata sambil melepaskan sisa bakaran daun tembakau yang dihisapnya. Kemudian menghisap lagi dalam-dalam, dan melepaskannya pula. Maka, menerawanglah asap itu ke udara, pantas sahaja hilang dilalu angin.
Busu Soyah duduk dekat dengan Ruyah. Ruyah hanya menunduk mendengar bapa saudaranya menyusun kata. Dia amat arif perihal bapa saudaranya. Dan bapa saudaranya pantang dilawan bersabung suara, pasti gempita seluruh isi Bukit Raja.
“Aku dah berbincang dengan Busu Soyah kau, hendak bahagikan tanah ini kepada dua bahagian. Bahagian aku dari parit melangkau ke rumpun buluh kemudian ke pohon jambu itu. Aku ambil bahagian atas,” kata Busu Nin sambil menunjukkan tangannya ke arah pohon yang menjadi batu penanda sempadannya dengan Busu Soyah.
“Aku pula diberinya bahagian bawah. Meruncing sedikit. Bahagian aku, aku dah rancang nak bahagikan kepada Bujang dan Rejang. Biar mereka usahakan. Nanti dah besar panjang, taklah mereka terdesak mahu mencari tanah. Tak juga bersusah-payah nak menebas hutan, merempat tanah kerajaan,” pesan Busu Soyah.
“Tanah aku, aku dah ada orang nak bagi. Biarlah dia kerjakan tanah tu. Aku yakin, dia mampu jaga kebun ni dengan baik. Paling penting tak jatuh ke tangan orang lain. Aku nak tanah ni jadi tanah pusaka, turun temurun jurai engkau,” pinta Busu Senin.
“Aku bukan apa Yah, senang Bujang kalau dah jadi cikgu nanti. Tak perlu berkampung di tanah orang. Tanah aku ada, duduklah dan jagalah seadanya. Bujang pun dah besar panjang, tak lama lagi berkahwin. Rejang yang nak meningkat naik pula boleh dipimpin oleh Bujang. Bujang dah tau tanggungjawab dia, boleh harap budak tu. Nin pula dah wasiatkan pada engkau.”
Berderau darah Ruyah apabila Busu Soyah mengatakan demikian. Sungguh, hormatnya kepada dua orang tua itu melebihi kepada ibu dan bapanya sendiri. Sayangnya kepada dua orang itu melebihi kasihnya kepada suami dan putera puterinya.
“Yah, ambillah yang ni. Ni surat tanah engkau, Bujang dan Rejang. Jagalah baik-baik. Tak lama lagi, aku akan mengikuti Busu Nin,” pinta Busu Soyah.
“Yah, kau pesan baik-baik pada Bujang. Belajar tempat orang jaga mulut, tangan. Jangan terlalu percaya dengan orang. Aku rindu kat Bujang, lama tak balik menjenguk aku.” Ada sendu yang mengekori kata-kata yang semakin perlahan itu.
“Tiga niat aku tak tercapai, nak tengok dia habis belajar. Kedua, nak tengok dia berkerja jadi cikgu. Ketiga kempunan nak merasa naik kereta dia,” suara Busu Soyah makin perlahan. Ada air mengenangi kelopak mata yang makin redup itu. Ditahannya seboleh mungkin.
Ruyah menoleh Busu Soyah. Mendakap erat-erat tubuh itu; mengusap-usap belakang Busu Soyah perlahan. Terasa tulang-temulang Busu Soyah yang timbul bagai akar pohon tualang. Dan kemudian pelukan itu telerai. Tangan Busu Soyah tak lagi mendakapnya, longlai.
“Mak Busu!” jerit Ruyah sekuat hatinya.

Sunday, May 8, 2011

LATIHAN CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH

Setelah membaca nota tentang cakap ajuk dan cakap pindah, cuba anda buat latihan berikut untuk menguji kefahaman anda. Semoga berjaya!


Tukar cakap ajuk di bawah ini kepada ayat cakap pindah.


a. “Pokok di belakang rumah aku tu dah tumbang. Habis dapur rumah aku ditimpanya,” keluh Mak Minah.
b. “Aduh, sakitnya kaki aku! Siapalah yang membuang kaca di tengah jalan ni!” ujar Kamal.
c. “Jangan lupa membeli tepung apabila kau ke kedai nanti. Emak nak buat karipap,” kata emak Rosyam.



Tulis perbualan di bawah ini semula dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan ayat cakap pindah.


Dahlan : Kamu nak pergi ke mana pagi-pagi ni?
Ranjit : Saya nak pergi ke Taman Metropolitan Kepong sekejap.
Dahlan : Kamu nak buat apa di sana pagi-pagi ni? Ada apa-apa acara ke di sana?
Ranjit : Tidaklah. Saya cuma nak berjonging di taman tu. Di situ ada lorong untuk berlari, berjalan dan kawasan untuk bersenam. Lagi pun, pemandangannya cantik. Kalau kamu mau ikut serta, marilah.
Dahlan : Kalau begitu, tunggu sekejap. Saya nak tukar baju sukan dulu.


Tukarkan setiap ayat cakap pindah yang berikut kepada ayat cakap ajuk.


a. Dr Asrul menasihati Tarmizi agar rajin memakan ubat supaya cepat sembuh.
b. Cikgu Fauziah mengatakan bahawa bukan sayur sahaja menjadi makanan kura-kura, malahan haiwan itu juga memakan buah-buahan.
c. Haji Ismail menganggarkan bahawa berat ikan keli di dalam akuarium itu enam kilogram dan mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat ikan keli sebesar itu.


Tukarkan setiap ayat cakap pindah yang berikut kepada ayat cakap ajuk.


a. Puan Kamariah mempersilakan para tetamunya memakan hidangan yang telah disediakan itu tanpa rasa segan.
b. Cikgu Habibah telah meminta pelajarnya supaya jangan bising kerana pelajar kelas di sebelah sedang menjalani ujian lisan.
c. Budak itu menanyai datuknya cara Hang Tuah dan rakan-rakannya dapat membunuh lanun-lanun yang datang membuat kacau di Melaka itu.


Tukar petikan di bawah ini dalam bentuk ayat cakap ajuk. Anda dikehendaki mengekalkan susunan isi dalam petikan.


Ketika hendak membeli tiket melalui mesin tiket komuter, Sarimah bertanya kepada kepada Hilmi, Raju dan Swee Lin sama ada hendak membeli tiket pergi balik atau tiket satu hala sahaja. Raju menjawab dengan menyatakan bahawa lebih baik mereka membeli tiket sehala sahaja kerana semasa balik nanti mereka akan menaiki bas pula. Hilmi bersetuju dengan cadangan itu kerana Swee Lin akan dapat melihat pemandangan lain pula apabila menaiki bas. Swee Lin juga bersetuju dengan cadangan itu kerana dia ingin melihat pemandangan lain ketika menaiki bas. Lagipun, itulah pertama kali dia datang ke Kuala Lumpur.



“Tanyalah jika tidak faham, tegurlah sekiranya terlihat salah faham, nasihatlah andai ternampak akhlak yang tenggelam, dan hindarilah jikalau ada dendam yang terpendam.”

CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH

Ayat cakap ajuk merupakan ayat yang dikemukakan oleh pihak pertama. Ayat cakap ajuk juga dikenali sebagai ayat dialog.

a. “Kenapa awak termengah-mengah ni? Macam kena kejar anjing!” soal Tina kepada Amir.

ATAU

b. Tina : Kenapa awak termengah-mengah ni? Macam kena kejar anjing!


Ayat cakap pindah pula ialah ayat yang diujarkan oleh pihak ketiga. Biasanya, ayat cakap pindah ini berbentuk ayat penyata.

a. Tina bertanya kepada Amir sebab dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.

ATAU

b. Tina menanyai Amir sebab dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.

Ayat tersebut dianggap tidak tepat jika diujarkan seperti berikut:
Tina bertanya kepada Amir mengapa dia termengah-mengah seperti dikejar oleh anjing.


Ada beberapa perkataan yang perlu diganti apabila menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah. Perhatikan contoh di bawah ini.

Dalam cakap ajuk...................Dalam cakap pindah
di sini.......................................di sana
mengapa/kenapa..................sebab
kamu.......................................dia
apa...........................................perkara
aku..........................................dia (nama penutur)
bagaimana..............................cara
kami........................................mereka
berapa.....................................jumlah/bilangan
ini.............................................itu
siapa........................................orang
bila...........................................masa/tarikh
di mana/mana........................tempat/arah
oh.............................................dengan perasaan hairan
aduh.........................................sambil mengerang kesakitan
eh.............................................penuh hairan
cis.............................................dengan marah
jangan......................................melarang/menegah
sila masuk...............................menjemput masuk
nak...........................................hendak
tak............................................tidak
dah...........................................sudah
mak..........................................emak/ibu
mau..........................................mahu
jom...........................................mengajak

Baca dengan teliti dialog antara dua orang rakan dan kemudian tukarkan cakap ajuk di bawah ini kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud serta struktur asalnya.

Asmah : Kejadian tanah runtuh makin menjadi-jadi sekarang ni.
Saleha : Mana taknya, pokok di cerun tinggi dah habis ditebang.
Asmah : Betul. Bila hari hujan, tanah itu menjadi lemah kerana tak ada akar mencengkam.
Saleha : Kesannya, kita juga yang menanggung. Orang lain yang buat, kita yang tanggung.

Asmah menyatakan bahawa kejadian tanah runtuh semakin kerap berlaku pada masa kini. Saleha menambah kejadian itu didorong oleh penebangan pokok di cerun tinggi. Asmah bersetuju dengan pendapat Saleha. Dia turut menyatakan bahawa apabila hari hujan, tanah tersebut menjadi lemah kerana tiada akar pokok yang mencengkam tanah. Saleha menyatakan bahawa kesannya akan ditanggung oleh masyarakat juga. Dia yang tidak berpuas hati menyatakan bahawa orang lain yang punya angkara, masyarakat juga yang perlu menanggungnya.